Masalah cara memegang pensel kanak-kanak

Last updated : September 1, 2015
Kertas projek yang bertajuk “Kajian kes ke atas masalah cara memegang pensel warna dalam kalangan kanak-kanak 4 tahun” oleh   merupakan sebahagian daripada syarat untuk memenuhi keperluan bagi program Diploma
Diluluskan oleh : 
…………………… 
Dr  
Fakulti Pendidikan Dan Pembangunan Manusia 
Universiti Pendidikan Sultan Idris 
( Penyelia/pemeriksa) 
Tarikh: ……………….. 
ABSTRAK 
Kemahiran motor halus memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kehidupan seharian kanak-kanak. Hal ini kerana jika kemahiran motor halus seseorang kanak-kanak itu baik maka aktiviti seharian juga mampu dilakukan tanpa bantuan orang lain. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah pemerhatian dan pengumpulan data. Secara ringkasnya, kajian ini telah mendapati bahawa kemahiran motor halus sangat penting dalam memperbaiki cara pegangan pensel yang salah. Justeru itu, perkembangan kanak-kanak haruslah selari dengan semua aspek perkembangan yang lain agar mereka dapat berkembang secara sihat dan normal. Kajian ini dilaksanakan bertujuan mengkaji punca masalah cara pegangan pensel warna yang salah oleh seorang kanak-kanak berumur 4 tahun dan seterusnya memperbaiki cara pegangan pensel warna sehingga betul. Saya telah mengambil tindakan untuk membantu kanak-kanak tersebut dalam memperbaiki cara memegang pensel warna sepanjang tempoh latihan mengajar saya di Taska Permata Keluarga, Kuala Terengganu. Berdasarkan pemerhatian yang telah saya buat, didapati murid ini sebenarnya tidak memegang pensel warna dengan betul ketika mewarna. Saya telah melaksanakan beberapa tindakan iaitu mengajar cara memegang pensel warna dengan betul dan menyediakan banyak aktiviti-aktiviti kemahiran motor halus. Setelah menjalankan bimbingan selama 8 minggu, saya mendapati sampel kajian telah dapat memperbaiki cara pegangan pensel warna. Berdasarkan hasil kajian ini, saya dapati cara memegang pensel akan mempengaruhi hasil lukisan yang telah diwarna oleh kanak-kanak.
  
Abstract
 
Fine motor skills play an important role in influencing children daily life. This is because; if the fine motor skills of a child are better, then the daily activities can also be done without any help from other people. This study was conducted by using the method of observation and collecting data. Briefly, the study has found that the fine motor skills are very important for improving the incorrect technique of holding the pencil. Therefore, the development of the child should be in line with all other aspects of development so that they can grow in a healthy and normal. This study aims to investigate causes of the problems by holding  colour pencils by  a child aged 4 years and thus improve the way holding up  coloured pencils correctly. I have taken an action to help these children in improving how to hold a pencil  colour during my practical at Taska Permata Keluarga, Kuala Terengganu. Based on my observations , i found that this student actually does not hold a pencil  colour properly when  colouring. I have implement several actions with teach how to hold a  color pencil properly and provides many activities fine motor skills. I have implemented several actions with teach how to hold a  color pencil properly and provides many activities fine motor skills. Based on the results, I discovered that the way the child holding the  colour pencils will affect the painting that has been painted by the children
BAB I
PENGENALAN
1.0              Pendahuluan 
     Pengetahuan mengenai pertumbuhan dan perkembangan adalah sangat penting di dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk perancangan kurikulum dan mencipta teknik mengajar kepada semua kanak-kanak di dalam pelbagai peringkat perkembangan. Pertumbuhan dan perkembangan merupakan dua proses yang saling berkait. 
     Pengetahuan mengenai psikologi pertumbuhan dan perkembangan membolehkan guru memahami perkembangan konsep yang dicapai oleh kanak-kanak pelbagai peringkat umur. Di sini, guru boleh merancang serta memilih bahan bacaan pada peringkat kesukaran yang paling sesuai. Guru perlu mengetahui jenis minat yang mungkin dibentuk oleh kanak-kanak berbagai peringkat umur untuk memberi dorongan agar penyertaan pelajar yang berkesan dapat dijayakan di dalam bilik darjah.
Perkembangan bermaksud proses yang berlaku sepanjang masa. Dalam proses perkembangan ini kita akan lihat perubahan yang berlaku pada seorang individu hasil interkasi di antara faktor genetik yang diwarisi dan pengaruh persekitaran (Doherty & Brennan, 2008). Kanak-kanak dilahirkan dengan memiliki sifat, bakat dan ciri semulajadi yang diwarisi dari ibubapa mereka. Keadaan persekitaran pula, menentukan bagaimana kanak-kanak ini menggunakan bakat yang diwarisi untuk berinteraksi dengan orang di sekelilingnya dengan pelbagai situasi. 
     Pemerhatian terhadap perkembangan dan kawalan anggota badan kanak-kanak merupakan suatu yang sangat menarik. Bagaimanakah kanak-kanak dapat menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran mereka? Cuba perhatikan bagaimana kanak-kanak mula mempelajari sesuatu. Bagaimana mereka mula mengenal objek dan mencuba untuk memegangnya. Bagaimana pula kanak-kanak ini mula bergerak seperti merangkak untuk mendapatkan objek tersebut. Bagaimana mereka menggunakan kawalan anggota badan mereka untuk mempelajari sesuatu. Semua aktiviti di atas merupakan perkembangan fizikal anggota badan kanak-kanak. 
Peringkat perkembangan ini sangat penting terutama dalam proses tumbesaran seperti ini kanak-kanak akan menggunakan deria seperti sentuhan, bau, merasa, melihat dan mendengar untuk pembelajaran dan membentuk konsep. Pada peringkat ini juga kanak-kanak akan belajar untuk mengawal gerakan anggota badan mereka sama ada motor kasar seperti berlari dan melompat atau kawalan motor halus seperti mewarna dan menulis.
Proses yang kompleks ini berlaku memerlukan kekuatan fizikal, koordinasi otot, keseimbangan badan dan persepsi yang tepat. Peringkat perkembangan ini melibatkan bagaiamana kanak-kanak memperkembangkan kemahiran baru mereka. Kebolehan ini perlu digalakkan dengan aktiviti yang sesuai, disediakan untuk pembelajaran kanak-kanak tersebut. Perkembangan fizikal dan cara kanak-kanak mengawal anggota badan membolehkan mereka meneroka dan berinteraksi dengan dunia di persekitaran mereka. 
Suatu proses perkembangan juga melibatkan interaksi antara kematangan kanak-kanak dan aktiviti pembelajaran yang dilalui oleh kanak-kanak tersebut. Menurut Wright dan Sugden (1999) dalam model peralihan, mereka mengaitkan kematangan individu dengan proses pembelajaran dan pengalaman. Proses pembelajaran ini pula berlaku dalam ruang persekitaran serta perlu memenuhi kehendak khusus aktiviti yang diberikan kepada kanak-kanak tersebut.
     Perkembangan boleh didefinisikan sebagai perubahan tingkah laku yang tersusun dan teratur. Semua perubahan dalam perkembangan ini akan membantu individu dalam proses mencapai kematangan. Perkembangan merupakan perubahan kualitatif yang tidak dapat diukur secara kuantitatif. Perubahan menunjukkan sifat yang berbeza daripada tahap perkembangan yang terdahulu. 
     Perkembangan juga adalah sebagai perubahan pada struktur, pendapat dan tingkah laku individu. Ia terhasil daripada fungsi biologi, faktor pemakanan dan pengaruh alam sekitar. Perkembangan juga merupakan perubahan yang bersifat kualitatif tetapi dapat dilihat dengan membandingkan sifat yang terdahulu dengan sifat yang terbentuk. Dengan kata lain, perkembangan boleh juga dianggap sebagai proses di mana individu itu mencapai kematangan, pengukuhan dan kestabilan. 
     
Menurut Mok Soon Sang (2008), perkembangan merupakan satu proses yang berterusan dari peringkat lahir hingga peringkat kematangan. Mengikut ahli psikologi perkembangan manusia dari aspek perubahan jasmani, kognitif, emosi, sosial dan rohani adalah dipengaruhi oleh dua faktor yang utama iaitu faktor baka dan faktor persekitaran. Perkembangan juga boleh disifatkan sebagai pengaliran yang saling berkait antara perubahan kuantitatif dan perubahan kualitatif yang menuju ke arah tertentu.
Menurut Crow dan Crow, perkembangan merupakan perubahan secara kualitatif serta cenderung ke arah lebih baik dari segi pemikiran, rohani, moral dan sosial. Manakala menurut Karl E. Garrison, perkembangan adalah dihasilkan daripada tindakan yang saling berkaitan di antara perkembangan jasmani dan pembelajaran. Sementara D.S Wright dan Ann Taylor mentakrifkan perkembangan sebagai perubahan yang berlaku dalam warisan hayat (baka) dan organisasi kepada struktur organisma dalam keadaan saling berkait serta berhubung dengan pertambahan umur.
Menurut Atan Long (1980) pula, perkembangan ialah perubahan kualitatif. Ia tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi jelas dilihat perubahan telah berlaku kerana sifat baru berlainan daripada peringkat yang lebih awal. Gesell (1949) menyatakan, walaupun tidak ada dua individu yang benar-benar serupa, secara global semua kanak-kanak yang normal cenderung mengikut susunan pertumbuhan yang biasa dilalui oleh kanak-kanak.
Antara ciri-ciri perkembangan ialah: 
(a) Secara umumnya perkembangan berlaku secara berperingkat-peringkat iaitu bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa dan tua. 
(b) Semua kanak-kanak mengikut perkembangan yang sama tetapi dalam kadar yang berlainan. 
(c) Proses perkembangan bersifat berterusan iaitu sepanjang hayat seseorang individu itu. 
(d) Perkembangan merupakan satu proses perubahan yang berlaku akibat tindakan yang saling berkait di antara perkembangan jasmani dan pembelajaran. 
(e) Perkembangan dipengaruhi faktor baka dan persekitaran. Baka menentukan had perkembangan manakala persekitaran akan menolong perkembangan ke satu tahap maksimum. 
(f) Perkembangan berlaku melalui perubahan dari segi bahasa, suara, tingkah l, cara berfikir, komunikasi dan sebagainya. 
     Mengikut kajian ahli psikologi, perkembangan kanak-kanak dipecahkan kepada 5 aspek iaitu aspek jasmani, kognitif, emosi, sosial dan rohani. Kelima-lima aspek ini pula adalah berasaskan kepada 2 faktor yang utama iaitu dipengaruhi oleh faktor baka dan faktor persekitaran. Perkembangan ini biasanya dikaitkan dengan perkembangan atau perubahan fizikal tubuh badan. Ahli psikologi juga telah berpendapat bahawa tiada individu di dunia ini yang mempunyai kadar perkembangan yang sama dan menjadikan faktor baka (nature) dan faktor persekitaran( nurture) sebagai penyebab ketidaksamaan kadar perkembangan individu. 
Baka ialah gen-gen yang diperturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya. Persekitaran pula merujuk kepada semua pengalaman luar individu tersebut. Kedua-dua faktor ini mempunyai ciri-ciri yang tertentu. Terdapat persamaan yang serupa bagi setiap pertumbuhan. Bagaimanapun, proses perkembangan setiap individu adalah berbeza. Perbezaan ini dapat dilihat melalui aspek fizikal, kognitif, emosi, sosial dan jasmani. 
Faktor baka atau nature lebih dikenali sebagai gen yang terdiri daripada nukleoprotein yang menentukan baka atau ciri keturunan. Kedudukan nukleoprotein terletak di atas lokus kromosom, yang berupa benang halus yang terdapat dalam nukleus sel sperma (jantan) juga sel ovum (betina). 
Mengikut kajian, kromosom mengandungi bahan DNA dan RNA dan masing-masing membawa gen-gen yang mengandungi sifat-sifat baka. Gen akan menguasai perkembangan manusia dan memberi sifat unik kepada setiap manusia.(sila lihat gambar 2 dalam bahagian lampiran). Tidak dinafikan bahawa pertumbuhan dan perkembangan individu dipengaruhi oleh faktor genetik individu tersebut. Sebagai contoh saiz dan bentuk badan, ketinggian, rambut dan warna. 
     Pengaruh genetik atau baka ke atas pertumbuhan dan perkembangan manusia ini sebenarnya dipelopori oleh Johann Gregor Mendel(1822-1889) di Austri. Menurut Norman L. Munn, dan Ee Ah Meng (1996) baka merupakan ciri-ciri yang diturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya melalui gen. Manakala R. Hilgard pula menyatakan bahawa baka ialah ciri-ciri biologi yang diturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya melalui gen. Amran Schienfed mengatakan bahawa baka menentukan persamaan antara ibu bapa dengan anak-anaknya, di kalangan ahli dalam satu kumpulan keluarga dari segi sifat-sifat seperti kebolehan , minat dan kawalan emosi. 
      Kajian ahli-ahli psikologi Galton(1865), Goddard(1890), Newman(1937) dab Sheldon(1962) telah membuktikan bahawa setiap individu mempunyai kecerdasan dan intelek yang berbeza. Perbezaan kecerdasan di antara individu boleh diperhatikan daripada prestasi pelajar dalam sesuatu kelas. Kajian ahli-ahli psikologi sering mengaitkan perbezaan kecerdasan individu dengan kecerdasan ibu bapa mereka. Biasanya, ibu bapa yang bijak pandai akan melahirkan anak-anak yang juga bijak pandai. Emosi seseorang juga diwarisi daripada baka ibu bapa. Misalnya, ibu bapa yang mempunyai emosi yang kurang stabil dan bersifat pemarah akan melahirkan anak yang agresif dan autokratik. 
Faktor kedua pula ialah persekitaran atau nurture. Faktor ini merujuk kepada keadaan semasa proses perkembangan kanak-kanak. Ini termasuklah pengalaman sebelum dan selepas lahir. Keadaan sebelum lahir merujuk kepada corak pemakanan, gaya hidup dan kesihatan si ibu. 
Keadaan selepas lahir pula adalah dipengaruhi oleh cara pemakanan, sosio ekonomi, tahap pendidikan, keluarga, rakan-rakan, ibadat, media dan persekitaran dunia. 
Mengikut teori Ekologi Bronfenbrenner (1979,1989), menjelaskan bahawa perkembangan kanak-kanak merangkumi lima jenis sistem ekologi iaitu mikrosistem, mesosistem, ekosistem, makrosistem, dan kronosistem. Menurut Bronfenbrenner, kelima-lima sistem ekologi ini adalah mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.
     Mikrosistem merujuk kepada persekitaran terdekat di mana kanak-kanak lebih banyak menghabiskan masa dan interaksi secara langsung di dalam persekitaran itu. Sebagai contoh hubungan interaksi secara langsung antara kanak-kanak dengan ibu bapa, guru dan rakan-rakan. Orang-orang dalam mikrosistem ini memainkan peranan yang tidak kurang penting di dalam perkembangan kanak-kanak. 
     Mesosistem pula merujuk kepada kaitan antara perhubungan dengan 2 mikrosistem. Hal ini bermaksud satu mikrosistem boleh mempengaruhi interaksi dengan mikrosistem yang lain. Misalnya keadaan yang berlaku di rumah boleh mempengaruhi sikap atau tingkah-laku di sekolah dan sebaliknya. Mengikut Bronfenbenner juga, kanak-kanak yang diberikan galakan untuk berinteraksi dan berkomunikasi dalam mesosistem ini menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada kanak-kanak yang kekurangan peluang. 
     Ekosistem merupakan pengalaman dengan persekitaran yang tidak melibatkan kanak-kanak secara langsung tetapi keputusan yang diambil dalam persekitaran tersebut memberi kesan kepada kanak-kanak tersebut. Misalnya sekolah dengan pasar raya. Kaedah pengurusan, kemudahan dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh tempat membeli belah secara tidak langsung mempengaruhi perkembangan sosial kanak-kanak tersebut. Makrosistem pula adalah perkembangan individu yang melibatkan norma-norma, nilai dan amalan masyarakat itu sendiri. Misalnya dalam sesetengah masyarakat, peranan jantina dititikberatkan (Santrock,2008). Di sesetengah negara, kaum lelaki diberi peranan yang lebih dominan di mana mereka diberi peluang pelajaran dan pekerjaan-pekerjaan yang penting. 
Kronosistem pula melibatkan perubahan perkembangan dalam suatu tempoh masa. Sebagai contoh situasi kanak-kanak hari ini lebih berfokus kepada permainan-permainan komputer jika dibandingkan dengan kanak-kanak pada zaman dahulu kala yang lebih gemar bermain di persekitaran rumah. 
     Ahli psikologi perkembangan yang berpegang kepada pengaruh persekitaran menekankan bahawa personaliti, kecerdasan, dan lain-lain terbentuk melalui genetik sebelum lahir. Malahan, mereka menekankan bahawa aspek-aspek fizikal, khususnya, diwarisi daripada ibu bapa, nenek dan moyang mereka, seperti ketinggian, bentuk badan dan warna mata seseorang. 
     Bagi menyokong pendapat mereka, ahli psikologi tersebut merujuk kepada kajian ke atas kanak-kanak kembar seiras yang dibela secara berasingan. Kajian tersebut menunjukkan bahawa sebahagian besar kecerdasan dan temperamen akan diwarisi. 
     Kumpulan ahli psikologi yang kedua menyokong pendapat bahawa aspek-aspek perbezaan individu yang biasanya dipengaruhi oleh persekitaran seperti, budaya, norma keluarga, media massa, pada umumnya bersifat sosial, kerohanian dan emosional. Faktor-faktor seperti amalan menjaga anak, kesihatan dan pemakanan, status sosio-ekonomi keluarga dan kualiti sekolah merupakan penentu penting bagi perkembangan kognitif dan sosial seseorang individu. 
     Ahli psikologi tersebut sering merujuk kepada kajian berkaitan dengan anak angkat di mana hasil kajian menunjukkan bahawa IQ kanak-kanak yang dibela oleh keluarga angkat adalah sama dengan ahli keluarga angkat mereka. 
 
     Suatu proses perkembangan juga melibatkan interaksi antara kematangan kanak-kanak dan aktiviti pembelajaran yang dilalui oleh kanak-kanak tersebut. Menurut Wright dan Sugden (1999) dalam model peralihan, mereka mengaitkan kematangan individu dengan proses pembelajaran dan pengalaman. Proses pembelajaran ini pula berlaku dalam ruang persekitaran serta perlu memenuhi kehendak khusus aktiviti yang diberikan kepada kanak-kanak tersebut.
 
1.2       Latar belakang kajian
 
     Kemahiran menulis adalah satu bentuk kemahiran berbahasa dan berkomunikasi yang penting dalam kehidupan manusia pada hari ini. Kemahiran ini berlainan dari kemahiran berenang atau berbasikal kerana kemahiran menulis berkaitan dengan dua perkara penting, iaitu kemahiran meluahkan idea agar dapat dibaca dan kemahiran menggunakan lambang tulisan bagi mencatatkan idea tersebut. 
     Hasil tulisan merupakan sumber pengetahuan dan pengalaman yang dapat dikongsi dan disebarkan ke serata tempat untuk dibaca oleh orang ramai. Justeru, jika kita ingin diingati dan tidak dilupakan selepas kita meninggal dunia, maka tulis sesuatu yang dapat diabadikan dan dibaca oleh orang lain.
     Kegiatan tulis menulis juga telah dilakukan oleh manusia sejak beribu-ribu tahun dahulu. Pada masa itu, sistem tulisan yang digunakan tidak sama seperti yang ada pada hari ini kerana sistem tulisan zaman permulaan lebih berbentuk lakaran dan lukisan berbanding dengan tulisan pada hari ini yang menggunakan aksara dan bentuk huruf tertentu. 
     Menulis bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan kerana ia melibatkan aspek kemahiran. Menulis ialah proses merakam atau menghasilkan bahan yang berbentuk idea, pendapat, pengalaman, perasaan, maklumat dalam bentuk tulisan untuk berhubung dengan orang lain atau dengan diri sendiri. 
     Menurut Kamaruddin Hj. Husin (1988) tulisan ialah bahasa yang bertulis dengan lambang -lambang bunyi. Jika tulisan itu dibunyikan semua ia dikatakan bahasa. Tulisan ialah alat untuk melahirkan fikiran dan perasaan. Ia merupakan bahasa yang tersusun yang berupa rangkai-rangkai kata dan ayat-ayat. Menulis ialah proses memberikan simbol-simbol grafik bagi melambangkan bahasa dalam menyusun perkataan, rangkai kata, ayat dan seterusnya unit-unit yang lebih panjang mengikut peraturan-peraturan tertentu dengan menunjukkan wacana dan pelahiran idea yang jelas tersusun. 
     Menurut Juriah Long dan rakan-rakan (1900), menulis adalah satu proses untuk menyampaikan buah fikiran, idea atau pendapat dengan tepat dan berkesan kepada khalayak atau pembaca dengan menggunakan bentuk grafik. Menulis ialah proses penghasilan pertuturan simbol-simbol grafik yang disusun berdasarkan pertuturan yang membentuk perkataan dan seterusnya disusun menjadi ayat-ayat (ada kalanya pendek dan ada kalanya panjang berdasarkan beberapa urutan bermakna yang membentuk teks, nota, draf dan bahan-bahan bercetak). 
     Menurut Raminah Hj. Sabran pula, penulisan ialah proses pelahiran perasaan, fikiran, dan idea ke dalam betuk grafik (disusun sehingga melambangkan bunyi bahasa yang dapat dibaca dan difahami maksudnya). 
Menurut Down Byrne (1979) ada menyatakan bahawa kita menggunakan simbol-simbol grafik semasa menulis, iaitu penggunaan huruf-huruf atau yang berkaitan dengan lambang-lambang bunyi yang kita buat semasa bercakap. 
Menurut Noraini Binti Ombi (2009) juga ada menyatakan bahawa cara memegang alat tulis akan mempengaruhi bentuk tulisan yang dihasilkan oleh kanak-kanak. Hal ini menunjukkan bahawa cara memegang alat tulis juga mempengaruhi kanak-kanak dalam aktiviti seperti mewarna juga.
Sassoon (1993) pula mendapati guru kurang memberi penekanan kepada pengajaran menulis di kelas khususnya cara memegang alat tulis dengan betul, menulis huruf mengikut pergerakan yang betul, menentukan saiz huruf dan menentukan ruang antara huruf dan perkataan. Kanak-kanak sepatutnya didedahkan kepada kaedah menulis yang betul pada peringkat awal lagi supaya kanak-kanak minat untuk melahirkan idea melalui tulisan yang cantik dan penuh dengan kesenian. Tulisan yang cantik dan mudah dibaca adalah aset yang sangat berharga dalam kehidupan seseorang. Murid-murid sekolah didapati boleh menulis tetapi tidak menulis dengan cara yang betul. Dalam mengejar celik huruf, guru-guru kadang-kadang kurang memberi perhatian kepada pengajaran membentuk huruf mengikut pergerakan yang betul.
 
1.3       Pernyataan masalah 
     Gerakan motor halus merupakan salah satu perkembangan yang penting dalam pergerakan anggota badan kanak-kanak. Semasa di peringkat perkembangan ini, gerakan motor halus seperti meminta kanak-kanak menulis sesuatu perkataan merupakan cabaran yang besar bagi kanak-kanak berbanding gerakan motor kasar. Pada peringkat ini, sistem saraf pusat mereka masih belum mencapai tahap kematangan yang sepenuhnya. Oleh itu proses penghantaran maklumat dalam sistem saraf ke jari tangan masih agak sukar. 
     Selain itu, otot kecil juga lebih cepat letih berbanding otot besar. Jari yang masih kecil juga menyukarkan kanak-kanak ini untuk mengawal pensel. Semua cabaran penggunaan motor halus ini memerlukan lebih kesabaran bagi kanak-kanak yang secara umumnya belum lagi memiliki sikap sabar ini. 
     Sesetengah tanda terencat perkembangan motor boleh dilihat semasa kanak-kanak ini berumur 2 tahun. Tanda-tanda ini adalah seperti kesukaran untuk duduk atau mengangkat kepala, sukar berdiri jika tidak dibantu, sukar untuk bergerak seperti merangkak, atau tempoh berjalan yang agak lambat. 
     Kemahiran gerakan motor halus juga boleh menjadi lambat disebabkan beberapa faktor antaranya; kecederaan, penyakit, stroke atau keadaan tidak normal sejak lahir. Kanak-kanak yang berumur 5 tahun dan ke atas tetapi tidak menunjukkan perkembangan motor halus yang baharu kemungkinan mengalami masalah dalam membuat gerakan motor halus. Perkembangan lambat bagi motor halus pula kadang kala dapat dilihat ketika kanak-kanak berada di peringkat prasekolah. Contohnya kanak-kanak ini sukar untuk memegang pensel, sukar untuk melukis atau sukar memasang butang baju. Oleh itu, ibu bapa, penjaga dan guru harus faham tentang perkembangan dan keperluan motor halus kanak-kanak agar perkembangan mereka dapat dibantu dengan sebaiknya. 
Masalah ini juga boleh berkait dengan keadaan kesihatan kanak-kanak seperti penyakit sawan, terencat akal, buta, pekak atau disebabkan diabetes. Kanak-kanak yang menunjukkan perkembangan yang lambat dalam kemahiran motor halus ini juga akan mempunyai masalah dalam mengawal koordinasi pergerakan badan khususnya bahagian muka, tangan dan jari. 
Pemerhatian ke atas kanak-kanak banyak menunjukkan terdapat banyak kesilapan yang dilakukan oleh kanak-kanak ketika menulis. Antara kesilapan yang dilakukan kanak-kanak ketika menulis ialah cara kanak-kanak memegang pensel. Cara memegang alat tulis akan mempengaruhi bentuk tulisan yang dihasilkan (Levine, 1987). Tulisan yang cantik dan mudah dibaca adalah aset yang sangat berharga dalam kehidupan seseorang. Kanak-kanak seperti ini didapati boleh menulis tetapi tidak menulis dengan cara yang betul. 
     Dalam mengejar celik huruf, guru-guru kadang-kadang kurang memberi perhatian kepada pengajaran membentuk huruf mengikut pergerakan yang betul. Sassoon (1993) mendapati guru kurang memberi penekanan kepada pengajaran menulis di kelas khususnya cara memegang alat tulis dengan betul, menulis huruf mengikut pergerakan yang betul, menentukan saiz huruf dan menentukan ruang antara huruf dan perkataan. 
     Kanak-kanak sepatutnya didedahkan kepada kaedah menulis yang betul pada peringkat awal lagi supaya kanak-kanak minat untuk melahirkan idea melalui tulisan yang cantik dan penuh dengan kesenian. 
     Oleh itu, bagi membantu kanak-kanak menguasai kemahiran motor halus memerlukan perancangan, masa, dan pelbagai bahan bantu mengajar. Perkembangan motor halus dapat digalakkan dengan aktiviti yang seronok, termasuk seperti permainan kraf, jigsaw, dan membina blok. Minta kanak-kanak bantu ibu bapa mereka membuat kerja rumah seperti memotong buah, atau mengacau tepung juga merupakan aktiviti yang baik untuk perkembangan motor halus mereka. Ia juga dapat meningkatkan kebolehan koordinasi tangan-mata. Oleh kerana perkembangan motor halus memainkan peranan yang penting dalam persediaan kanak-kanak memasuki sekolah dan perkembangan kognitif maka kemahiran ini seharusnya diberi perhatian dalam kurikulum prasekolah 
 
1.4       Tujuan kajian
Objektif kajian ini ialah : 
1)    Untuk mengenal pasti bahan yang boleh digunakan untuk kanak-kanak menulis  dengan betul. 
2)  Untuk mengetahui latihan yang sesuai untuk kanak-kanak yang mempunyai masalah cara memegang pensel dengan betul. 
1.5       Persoalan kajian 
Berdasarkan objektif diatas, kajian ini akan menjawab dan mengenalpasti tahap pencapaian prestasi yang berlaku pada taska tersebut. Melalui persoalan ini, pengkaji telah menetapkan pemikiran untuk menjawab soalan kajian iaitu:
1)   Apakah bahan yang boleh digunakan untuk kanak-kanak menulis dengan betul?
2)   Apakah aktiviti yang sesuai untuk kanak-kanak yang mempunyai masalah cara memegang pensel dengan betul?
1.6       Kepentingan kajian 
            Hasil kajian ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada semua pihak dan institusi yang terlibat dalam pendidikan terutama dalam meningkatkan kesedaran betapa pentingnya cara memegang pensel dengan betul kepada kanak-kanak. 
Mengajar kanak-kanak bagaimana untuk memegang pensel dengan betul adalah penting untuk mencegah kelemahan menggenggam pensel. Lemah cengkaman pensel mungkin menjejaskan keupayaan kanak-kanak untuk menulis dengan lancar dan betul. Satu masalah biasa bagi semua kanak-kanak mula menulis ialah menggenggam pensel terlalu ketat sehingga sukar untuk menulis dan cara pegang pensel yang salah. 
       Dapatan kajian yang diharapkan boleh mencetuskan beberapa masalah dan penyelesaiannya. Dan diharapkan ia boleh menjadi rujukan yang sesuai bagi Kementerian pelajaran Malaysia bagi mengurangkan masalah cara memegang pensel di kalangan kanak-kanak khususnya diperingkat taska, prasekolah dan sekolah rendah. Hal ini kerana KPM merupakan perancang utama dalam hala tuju pendidikan dan boleh melihat setiap masalah yang timbul dalam pembelajaran sebagai suatu yang global. 
     Dapatan kajian juga akan memberi implikasi penting kepada guru. Hal ini kerana guru akan dapat merancang aktiviti yang sesuai dalam pengajaran bagi meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak dan seterusnya dapat mengurangkan masalah cara memegang pensel dengan betul.
     Sehubungan itu, adalah diharapkan dapatan daripada kajian ini dapat memberi kesedaran dalam diri bahawa mereka juga mampu bersaing dengan rakan sebaya yang lain. Aktiviti-aktiviti yang dilakukan menjadi pendorong atau motivasi kepada sesuatu yang lebih baik. Keazaman yang tinggi menjalani proses terapi membantu mereka membentuk kehidupan berdikari yang lebih baik.
Kajian ini mampu mengubah tingkah laku kanak-kanak. Sebagai contoh, sikap pendiam, tidak berminat untuk belajar, suka bersendirian, tidak fokus dan sebagainya. Kemampuan memberikan ganjaran dan pujian semasa kajian dilakukan boleh meransang mereka mengubah tingkah laku. 
Mereka juga dapat bersosiolisasi dan berkomunikasi dengan baik bersama rakan sebaya. Keyakinan diri dapat meningkatkan keupayaan berinteraksi dengan alatan dan rakan semasa menjalankan aktiviti. Komunikasi yang baik mampu menggalakan mereka meluahkan perasaan dan bertukar-tukar pendapat .Mereka mampu bercerita mengenai aktiviti yang mereka jalani dan berkongsi keseronokan tersebut. Secara tidak langsung mereka dapat belajar dalam kumpulan dan mengamalkan nilai-nilai baik dalam kehidupan. Contohnya berkongsi alatan, bersifat sabar dan bekerjasama. Penerapan nilai-nilai baik ini akan menjadi panduan dalam kehidupan mereka. 
     Selain daripada apa yang dibincangkan diatas, kajian ini juga akan dapat membantu kanak-kanak meluahkan dan melahirkan perasaan. Pakar-pakar psikologi berpendapat melalui aktiviti motor kasar dan motor halus yang dijalankan dalam kumpulan atau individu akan membantu mereka melepaskan segala kesusahan dan perasaan yang terpendam dalam hati mereka. Contoh seperti memukul boxing, menyepak bola dan sebagainya. Selepas aktiviti ini dijalankan kebanyakan kanak-kanak akan lebih tenang dan dapat memberikan tumpuan kepada aktiviti seterusnya. 
1.7       Batasan kajian
a)         Bilangan sampel: 
Sampel yang di ambil terhad kepada seorang kanak-kanak sahaja. Hal ini kerana hanya seorang kanak-kanak sahaja yang mempunyai masalah cara pegang pensel dengan betul.  
b)         Masa : 
Masa yang diperuntukkan dalam menjalankan kajian ini terhad dalam masa 3 bulan iaitu semasa pengkaji menjalani latihan mengajar. Sampel yang sering tidak datang ke taska juga memberi masalah kepada pengkaji untuk menjalankan kajian. 
1.8       Definisi operasional 
Masalah    : Sesuatu yg memerlukan penyelesaian, perkara atau keadaan yg menimbulkan kesukaran (kesulitan):
Cara                 : Aturan (sistem, jalan) membuat sesuatu, laku, macam, ragam.
Memegang      : Memakai (menggunakan)
Pensel              : Sejenis alat tulis daripada kayu kecil yang berisi terutamanya grafit atau potlot. 
            1.9                     Rumusan 
Dalam bab ini, penyelidik telah memberikan huraian mengenai kajian yang akan dijalankan. Laporan ini dibahagikan kepada 5 bahagian. Dalam bab I, penyelidik telah membincangkan mengenai latar belakang kajian, permasalahan kajian, tujuan kajian, persoalan kajian dan kepentingan kajian. Bab ini membincangkan secara terperinci mengenai latar belakang penyelidikan yang berfokuskan kepada pernyataan maslaah yang mendorong pengkaji membuat kajian. Penjelasan lanjut tentang fokus kajian telah dibincangkan melalui pernyataan objektif, persoalan kajian, batasan kajian dan seterusnya definisi istilah yang berkaitan.
Melalui kajian ini juga pengkaji amat berharap dapat memperoleh maklumat serta menguji signifikasi hubungan di antara aktiviti-aktiviti motor halus dengan cara memegang pensel dengan betul. 
Kesimpulannya, perkembangan dapat diklasifikasikan sebagai suatu perubahan yang bersifat kualitatif, tersusun, bertahap dan berterusan pada diri manusia bermula semenjak percambahan sel sehingga ke akhir hayat organisma hasil dari kombinasi pembelajaran, pengalaman dan kematangan melibatkan aspek-aspek fizikal, emosi, mental dan sosial. Ia juga ditakrifkan sebagai satu perubahan kualitatif yang sistematik meliputi aspek biologi, kognitif dan sosioemosi. Perubahan tersebut adalah berterusan dalam mematangkan dan mendewasakan suatu benda hidup hingga ke akhir hayatnya.
BAB II
KAJIAN LITERATURE
2.0       Pendahuluan 
            Bab ini meninjau literatur yang berkaitan dengan tajuk kajian ini yang berkisar tentang hujahan, dapatan, dan teori-teori yang berkaitan dengan tahap kemahiran motor halus kanak-kanak dalam memegang pensel dengan cara yang betul. Pengkaji menghuraikan tentang perkembangan-perkembangan yang berkaitan dengan cara memegang pensel dengan betul seperti perkembangan fizikal dan aspek-aspek perkembangan motor halus kanak-kanak. 
2.1       Perkembangan fizikal
 
     Perkembangan fizikal merupakan satu aspek yang menekankan asas pertumbuhan dan pembesaran kanak-kanak dalam keadaan sihat, selamat dan ceria. Menurut “Kurikulum Prasekolah Kebangsaan” (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2003), perkembangan fizikal kanak-kanak boleh dibahagikan kepada empat bahagian iaitu; kebersihan alam sekitar, keselamatan, kesihatan dan psikomotor. Ia juga sering dikaitkan dengan kebolehan kanak-kanak menggunakan anggota badan, otot, dan koordinasi untuk menjalankan aktiviti harian.
     Dalam proses mendidik kanak-kanak, aspek perkembangan fizikal seharusnya diberi perhatian. Seorang kanak-kanak tidak akan dapat berkembang dengan baik sekiranya aspek ini diabaikan. Misalnya, seorang kanak-kanak yang cerdas tidak akan dapat mencapai kejayaan sekiranya kanak-kanak ini mengalami masalah kesihatan atau persekitarannya kurang sihat. Oleh itu, kanak-kanak ini perlu diberikan pendedahan dalam cara amalan dan langkah untuk menjaga kebersihan persekitaran kanak-kanak tersebut.
     Schmidt dan Wrisberg (2000) menjelaskan bahawa kemahiran fizikal kanak-kanak perlu dlilihat dalam dua kategori iaitu sebagai tertutup atau terbuka. Kedua-dua kategori ini perlu dalam memperkembangkan kemahiran kanak-kanak.
     Bagi aspek kemahiran fizikal tertutup bermakna kanak-kanak menjalankan aktiviti dalam persekitaran yang terkawal dan tidak berubah. Aspek terbuka dalam kemahiran terbuka pula bermaksud persekitaran dan situasi bagi kanak-kanak menjalankan aktiviti fizikal sentiasa berubah. Contohnya untuk melatih sesuatu pergerakan kanak-kanak memerlukan persekitaran yang tertutup. Manakala dalam sesuatu permainan kanak-kanak akan melalui persekitaran yang terbuka. 
     Perkembangan fizikal mempunyai beberapa prinsip asas bagi memastikan perkembangan seseorang individu stabil dan teratur. Prinsip yang pertama ialah perkembangan mempunyai arah tertentu yang dapat diramalkan iaitu dari tengah badan dan berterusan sehingga ke luar badan. Terdapat dua arah perkembangan iaitu arah dari kepala ke kaki ataupun cephalocaudal dan arah dari tengah ke tepi atau proximodistal. Perkembangan bermula dari tulang belakang menuju ke arah luar badan di mana pada peringkat prenatal, organ-organ yang terbentuk terlebih dahulu dan diakhiri oleh pembentukan otot halus. 
     Prinsip yang kedua ialah susunan perkembangan adalah serupa bagi semua namun ada yang dahulu dan ada yang kemudian, tapi urutan tidak berubah. Pada umur yang sama, ada kanak-kanak yang berjaya duduk dahulu namun ada yang lebih lambat. Ada juga yang akan terus berjaya berdiri selepas berjaya duduk namun urutan ini tidak akan berpatah balik ke peringkat sebelumnya. 
Prinsip yang ketiga menyatakan bahawa perkembangan bermula daripada keadaan menyeluruh kepada keadaan tertentu iaitu mulanya dari umum kemudian kepada yang lebih khusus. Sebagai contoh, apabila bayi merasa sakit, mereka akan menangis.
     Tiga kategori dalam perkembangan fizikal kanak-kanak ini adalah keseimbangan (stability), pergerakan (locomotion), manipulasi (manipulation). Keseimbangan merujuk kebolehan kanak-kanak adalah mengekalkan kedudukan badan mereka secara relatif kepada tindakan graviti. Pergerakan adalah aspek yang berkaitan dengan tingkah laku kanak-kanak tersebut. Manakala manipulasi adalah kemahiran kanak-kanak berhubung dengan objek di persekitarannya.
     Pada peringkat ini, kanak-kanak akan sedar tentang kawalan badan mereka seiring dengan kebolehan mereka mengerakkan anggota badan tersebut. Justeru, pada peringkat awal pembelajaran kawalan tubuh badan ini, tumpuan juga harus diberikan kepada pengetahuan mereka tentang nama dan mengenal bahagian-bahagian anggota tubuh badan mereka. Contohnya, kita mengajar mereka seperti; “memegang dengan tangan”, “menendang dengan kaki” dan “melihat menggunakan mata”. Apabila kita mengajar mereka memegang bola dengan tangan kita juga boleh menunjukkan bagaimana kawalan tangan itu boleh dilakukan.
Mereka juga perlu peka terhadap gerakan anggota badan mereka dan kebolehan untuk membuat beberapa bentuk gerakan. Contohnya dalam aktiviti senaman, kita minta kanak-kanak membuat imaginasi seperti, “buat badan kamu seluas lautan” sambil mendepakan tangan seluasnya. Atau “cuba capai buah di atas pokok yang tinggi” sambil menyuruh kanak-kanak merengangkan badan mereka untuk mencapai tempat yang tinggi. Aktiviti seperti ini, selain kanak-kanak akan berasa seronok ia juga akan dapat menggalakkan imaginasi kanak-kanak tersebut. 
Perkembangan fizikal dan penjagaan kesihatan kanak-kanak pada peringkat tadika dan taska memerlukan aktiviti yang menguatkan kawalan otot mereka. Kanak-kanak akan menghadapi masalah dalam melakukan aktiviti seperti memegang pensel atau berus untuk menulis dan melukis, penglibatan dalam aktiviti sukan, aktiviti memainkan peralatan muzik serta pengendalian peralatan jika aspek perkembangan fizikal yang lemah. Pendidikan di taska, tadika mahupun prasekolah perlu menyediakan peluang pembelajaran untuk meningkatkan kemahiran motor halus, motor kasar, serta koordinasi mata-tangan di kalangan kanak-kanak ini.
     Perkembangan fizikal merupakan satu aspek yang menekankan asas pertumbuhan dan pembesaran kanak-kanak dalam keadaan sihat, selamat dan ceria. Menurut “Kurikulum Prasekolah Kebangsaan” (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2003), perkembangan fizikal kanak-kanak boleh dibahagikan kepada empat bahagian iaitu; kebersihan alam sekitar, keselamatan, kesihatan dan psikomotor. Ia juga sering dikaitkan dengan kebolehan kanak-kanak menggunakan anggota badan, otot, dan koordinasi untuk menjalankan aktiviti harian.
      Terdapat beberapa gerakan anggota tubuh badan yang sesuai dijalankan oleh kanak-kanak ini bagi melatih kawalan anggota badan. Antara aktiviti untuk kawalan badan adalah seperti melenturkan badan, meregangkan badan dan memusingkan badan. Lain-lain aktiviti adalah seperti berpusing dalam bulatan, melompat bersama rakan dan melangkah bersama-sama seperti keretapi sedang bergerak. Aktiviti seperti ini akan memperkukuhkan kebolehan kanak-kanak itu mengawal anggota badan. 
Selain itu, dalam aktiviti ini akan melibatkan koordinasi untuk bergerak dalam kumpulan. Aktiviti yang dinyatakan di atas merupakan aktiviti yang melibatkan kawalan anggota badan secara serentak. Ia melibatkan kawalan terhadap tangan, kaki dan badan. Contohnya dalam aktiviti bermain keretapi bergerak bersama rakan. Kanak-kanak akan membuat kawalan tangan agar sentiasa memegang bahu rakannya. Gerakan kaki juga perlu dikawal agar bergerak serentak dengan kaki rakan yang lain. Kawalan badan pula perlu agar mereka dapat bergerak dalam satu barisan yang lurus. 
Aktiviti fizikal mempunyai banyak faedahnya jika kanak-kanak diberi peluang untuk mencuba melakukan pelbagai pergerakan. Guru-guru dan ibu bapa perlu menitikberatkan hal ini kerana ianya menguntungkan kanak-kanak dari pelbagai sudut. 
Antara faedah aktiviti fizikal ialah sesuatu pergerakan akan membantu pertumbuhan tubuh badan menjadi sihat dan meningkatkan daya kecerdasan. Contohnya, dengan melakukan aktiviti fizikal, kanak-kanak dapat megeluarkan peluh dari badan. Fungsi peluh ialah menyihatkan tubuh badan dan menyingkirkan toksin. Tambahan pula, kanak-kanak dapat meningkatkan stamina mereka. 
     Di samping itu, melakukan aktiviti fizikal dapat memupuk semangat setiakawan dan kanak-kanak dapat bersaing dengan sihat. Contohnya, situasi ini dapat dilihat apabila kanak-kanak bermain ting-ting (aksi hop) bersama-sama dan saling memberi sokongan antara satu sama lain. Di sini, sifat toleransi bersama rakan-rakan mula menyerlah dan juga sifat kepimpinan kerana mereka sudah dilantik oleh rakan-rakan mereka untuk menjadi ketua. Selain itu juga, mereka dapat bertanding secara sihat dan tidak kisah samada menang dan kalah. 
     Kanak-kanak juga dapat meningkatkan lagi keupayaan pergerakannya dan menguasai kemahiran fizikal. Sebagai contoh, melakukan aktiviti leap iaitu berlari sambil melonjak tinggi menuntut kesabaran yang tinggi di kalangan kanak-kanak. Bagi mereka, aktiviti ini adalah agak sukar, namun jika diberi latihan yang secukupnya, nescaya kanak-kanak akan berjaya melakukan aksi leap. 
     Seterusnya, kanak-kanak akan memperkembangkan perkembangan emosi mereka kerana mereka akan merasa seronok apabila mereka dapat menguasai beberapa kemahiran tertentu. Contohnya ialah, kanak-kanak seringkali melompat kegembiraan apabila mereka menang tempat pertama dalam pertandingan lumba lari. 
Selain itu, kanak-kanak akan menjadi lebih seronok jika terdapat muzik dimainkan semasa melakukan aktiviti fizikal seperti pergerakan bukan lokomotor iaitu twist. Tambahan pula, kanak-kanak akan berasa puas jika mereka melakukan aktiviti-aktiviti fizikal dengan betul dan estetik (Zainun Ishak, 2006). 
Kanak-kanak dapat meningkatkan lagi perkembangan sosial mereka dengan berinteraksi dengan rakan-rakan dan guru ketika melakukan aktiviti fizikal. Contohnya, kanak-kanak mengikuti arahan yang diberikan oleh guru dan seterusnya membantu rakan-rakan lain dalam melakukan aktiviti berlari, melompat dan lain-lain secara bersama-sama. 
Di samping itu juga, dengan melakukan aktiviti fizikal, kanak-kanak dapat menanamkan sifat keberanian dalam diri masing-masing. Hal ini kerana, kanak-kanak berani bersoal jawab dengan guru jika terdapat apa-apa kemusykilan dalam melakukan aktiviti. Pada tahap ini, sifat ingin tahu dalam jiwa kanak-kanak mula menebal dan mereka akan berusaha mencuba pelbagai aktiviti lokomotor seperti berlari dengan membawa bola ping-pong dalam sudu, dan aktiviti bukan lokomotor seperti melambung bola dan sebagainya 
Kecergasan bermaksud berada dalam keadaan cergas dari segi fizikal dan mental, berkeupayaan melaksanakan tugas harian dengan efisyen tanpa merasa letih atau kelesuan dan dapat melibatkan diri dalam aktiviti riadah di samping itu masih memiliki tenaga untuk menghadapi saat-saat yang tidak terduga dan kecemasan.
     Kecergasan juga merupakan keupayaan dan kemampuan melakukan sesuatu dengan sempurna. Ia juga melibatkan aspek fisiologikal, psikologikal dan sosiologikal. Kecergasan secara total boleh digambarkan sebagai keupayaan menjalani kehidupan sempurna serta mampu memberi sumbangan dan perkhidmatan yang terbaik dan kecergasan merangkumi aspek fizikal, mental, emosi dan sosial. Setiap satu saling bantu-membantu, jika satu terganggu maka yang lain akan terjejas dan prestasi individu berkenaan akan mendapat kesan.
     Kecergasan fizikal juga adalah keupayaan individu untuk berfungsi secara berkesan untuk menghadapi cabaran dalam kerja fizikal harian dan menggunakan masa lapang dengan lebih efektif di samping mempunyai lebihan tenaga untuk tujuan kecemasan.
     Keseimbangan pula merujuk kebolehan kanak-kanak mengekalkan kedudukan badan mereka relatif kepada tindakan graviti. Pergerakan adalah aspek yang berkaitan dengan tingkahlaku kanak-kanak tersebut. Manakala manipulasi adalah kemahiran kanak-kanak berhubung dengan objek di persekitarannya. 
Pendidikan pergerakan lokomotor menyokong perilaku pergerakan yang dirancang. Konsep Pergerakan lokomotor berkaitan dengan gerakan atau aliran. Jika pergerakan lokomotor digunakan dalam persembahan kita akan dapat melihat arah gerakan dalam persembahan itu.
Pergerakan lokomotor boleh didefinisikan sebagai pergerakan yang kreatif dan aktif iaitu sekiranya dilakukan akan menyebabkan tubuh badan berubah kedudukan atau tempat, dari satu tempat berganjak ketempat yang lain. Ia juga melibatkan perkembangan fizikal. Kemahiran Lokomotor juga melibatkan pergerakan otot kasar seperti melompat, berlari dan sebagainya. Lokomotor boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu Lokomotor Beritma Sekata dan Lokomotor Beritma Tidak Sekata bersifat aliran gerakan dari satu tempat ke tempat yang lain. 
Terdapat pelbagai cara pergerakan badan dalam gerakan lokomotor, gerakan ini melibatkan arah, aliran, haluan dan masa. Arah melibatkan bentuk arah gerakan iaitu ke hadapan atau ke kiri atau ke kanan. 
Haluan ialah melibatkan corak gerakan contohnya samada boleh dalam bentuk lurus, bengkang bengkok, zig zag dan lain-lain masa adalah masa yang digunakan untuk melengkapkan pergerakan, masa boleh dalam keadaan cepat atau pelahan, dengan cara tiba-tiba atau terkawal. 
     Pergerakan lokomotor juga merupakan pergerakan yang menyebabkan keseluruhan tubuh badan berubah kedudukan seperti berjalan dan berlari disebut bergerak dan beredar. Pergerakan lokomotor adalah dasar yang menyokong pelaku berubah kedudukan mengikut pergerakan. Contoh pergerakan lokomotor ialah berjalan, berlari, melompat, melompat ketingting, lari sisi, skip, merangkak, guling hadapan, guling balak, guling sisi dan galop. 
     Pergerakan bukan lokomotor ialah pergerakan yang tidak mengubah kedudukan disebut bergerak tanpa beredar dan ia lebih tertumpu kepada pergerakan bahagian tubuh badan pada sendi buka-tutup dan pusing putar. Oleh yang demikian pergerakan bukan lokomotor merupakan pergerakan yang tidak mengubah dasar menyokong pelaku pergerakan. Antara contoh pergerakan bukan lokomotor ialah berdiri, duduk, gusti tangan, enjet-enjet semut, tarik naik pasangan, tepuk amai-amai, menaik setempat, mengilas sambil tepuk tangan, tarik dan tahan rakan serta tekan tubi.
     Perbezaan antara lokomotor dan bukan lokomotor ialah lokomotor merupakan kebolehan menggunakan otot-otot kasar seperti melompat, berjalan dan sebagainya. Manakala bukan lokomor pula merupakan kebolehan bergerak menggunakan otot-otot kecil.
     Kinestetik merupakan kemahiran yang penting bagi kanak-kanak melakukan gerakan tubuh badan. Kebolehan kanak-kanak membuat gerakan dan mengkoordinasi gerakan badan membolehkannya melakukan banyak aktiviti yang lebih bermakna. Misalnya, kanak-kanak yang baik daya kinestetik akan cepat untuk berguling, merangkak dan akhirnya dapat berjalan. Banyak aktiviti yang kita lakukan seharian juga melibatkan kebolehan kita membuat gerakan kinestetik anggota badan. Malah mereka yang dapat mengerakkan anggota badan dengan baik berupaya untuk menjadi atlit, penari atau individu yang lebih cergas, kuat dan sihat.
Kinestetik dapat dilihat semasa peringkat awal perkembangan kanak-kanak lagi. Misalnya, di peringkat bayi satu daripada cara untuk mereka menunjukkan keinginan mereka adalah melalui gerakan. Bayi akan mengerakkan tangan dan menendang-nendang kaki mereka sekiranya mereka inginkan sesuatu. Kanak-kanak sedar melalui gerakan seperti ini mereka akan memperoleh respons yang lebih cepat.
Selain itu, melalui gerakan juga kanak-kanak dapat meneroka persekitaran mereka. Kanak-kanak yang sedang membesar merupakan seorang yang penuh dengan imaginatif dan ‘curiousity’ yang tinggi. Oleh itu, apabila berpeluang mereka akan cuba meneroka di tempat yang baru tersebut. Contohnya, kali pertama mereka di kelas prasekolah, kanak-kanak ini akan berasa seronok dan mencuba sesuatu dengan cara melompat dan memanjat tempat yang baru bagi mereka.
Gerakan kinestetik dapat dikaitkan dengan kebolehan untuk belajar, meningkatkan kesihatan diri dan menambahkan keyakinan kanak- kanak (Doherty & Brennan, 2008). Guru perlu memainkan peranan bagi membantu kanak-kanak bergerak dengan lebih berkesan dan meningkatkan kualiti gerakan kinestetik mereka. Gerakan kinestetik merupakan perkara penting dalam perkembangan dan latihan fizikal kanak-kanak. Penggunan gerakan kinestetik dan perancangan yang baik dapat membantu kanak-kanak lebih prihatin terhadap anggota badan dan bagaimana melakukan gerakan yang lebih berkesan.
Menurut (Bucher, 1979) ciri-ciri dalam pendidikan gerakan kinestetik adalah;
a)      berpusatkan murid
b)      perlu melibatkan penyelesaian masalah
c)      pendidikan yang tidak terlalu formal
d)     melibatkan penggunaan alatan
e)      membenarkan pembelajaran kemahiran motor
f)       dapat meningkatkan kepusan dalam membuat gerakan
Kesimpulannya, pergerakan lokomotor dan bukan lokomotor adalah sangat penting dimana ianya mempengaruhi pelbagai perkembangan dalam kehidupan kanak-kanak secara langsung dan juga tidak langsung. Aktiviti pergerakan adalah sesuatu yang unik dan penting dalam perkembangan fizikal kerana sesuatu pergerakan akan membantu pertumbuhan tubuh badan kanak-kanak menjadi sihat. Sesuatu kemahiran pergerakan akan diperolehi melalui pengalaman dalam permainan ataupun aktiviti yang dijalankan di sekolah mahupun di rumah.
Selain itu, aktiviti pergerakan juga dapat membantu dari segi aspek sosial dimana mereka akan mengalami kepuasan dalam mempelajari sesuatu pergerakan. Jika kanak-kanak aktif bermain dan bergerak secara tidak langsung dapat memupuk sifat keyakinan diri, kepimpinan dan toleransi dalam diri mereka.
Dari aspek emosi pula, melalui pembelajaran pergerakan yang mencabar dan seronok akan menjadikan kanak-kanak riang dan aktif, sekaligus dapat mempengaruhi perkembangan kognitif kanak-kanak melalui strategi pergerakkan yang pelbagai. Oleh itu, semua pihak iaitu ibubapa, guru dan juga masyarakat perlu memberi peluang dan galakan kepada kanak-kanak untuk menyertai dalam aktiviti pergerakan yang aktif, pantas dan mencabar sesuai dengan sifat semula jadi kanak-kanak yang suka meneroka sesuatu yang baru.
Dalam Program Pendidikan Jasmani Sekolah Rendah, telah dinyatakan bahawa kegiatan seperti pergerakan asas, pergerakan kreatif, asas gimnastik serta sukan dan permainan adalah supaya penumpuan khas dapat diberikan kepada peringkat perkembangan murid. Pergerakan lokomotor dan manipulasi peralatan sangat penting kerana ia merupakan asas untuk mencipta pergerakan yang lebih kompleks untuk tujuan sukan dan kehidupan seharian. Sebab itulah pergerakan asas diterapkan kepada pelajar di sekolah rendah supaya mereka dapat menguasai dan memahirkan diri dalam melakukan pergerakan yang lebih kompleks. Tujuan kerja kursus ini adalah supaya pengetahuan dan kefahaman variasi pergerakan asas dapat didalami dan dipraktikkan untuk tujuan pengajaran kelak.
2.2       Aspek perkembangan motor halus
Apa yang dimaksudkan dengan perkembangan motor? Istilah perkembangan motor merujuk kepada perkembangan fizikal atau pertumbuhan dalam kebolehan kanak-kanak menggunakan anggota badan dan kemahiran fizikal mereka. Perkembangan motor juga kerap kali didefinisikan sebagai proses yang mana perlukan bagi membentuk cara mereka melakukan gerakan. Oleh itu apabila kita membincangkan tentang perkembangan motor kanak-kanak kita tidak dapat lari daripada membicarakan perkembangan motor halus dan motor kasar mereka.
Kemahiran motor dibahagikan kepada dua bahagian iaitu motor kasar dan motor halus (Magill, 2001). Kemahiran motor kasar merupakan kemahiran yang melibatkan kumpulan otot-otot kasar atau besar yang melibatkan banyak anggota. Kemahiran motor halus merupakan kemahiran yang melibatkan kumpulan otot-otot kecil atau halus dan sukar dilihat. Walau bagaimanapun, terdapat kesukaran dalam mengaplikasikan sesetengah kemahiran bagi menentukan penggunaan kumpulan otot kasar atau otot halus.
Kemahiran motor halus juga merupakan kemahiran yang menggunakan otot kecil seperti pergerakan jari serta koordinasi jari dan mata. Penguasaan psikomotor halus yang baik amat penting dalam membantu pergerakan asas dan kemahiran menulis kepada kanak-kanak. Antara aktiviti yang boleh membantu perkembangan motor halus kanak-kanak dalam menulis adalah menjahit kad berlubang, merantai manik, menyambung satu titik ke satu titik yang lain sehingga menghasilkan sesuatu gambar, dan lain-lain lagi.
Kemahiran motor halus adalah pergerakan yang lebih halus dan memerlukan bantuan sedikit otot tertentu sahaja seperti menggunakan jari untuk memegang objek atau melukis. Penguasaan kemahiran motor halus membantu bayi dan kanak-kanak membantu mereka mencapai mengikut kehendaknya sendiri. Perkembangan ini memainkan peranan yang penting untuk membuka jalan baru dalam penerokaan persekitaran (Piaget , 1936). Contohnya dengan menggenggam objek, memusingkannya dan memerhatikan apa yang berlaku setelah melepaskan objek tersebut dari pegangannya, bayi mempelajari ciri-ciri yang terdapat pada objek tersebut seperti tekstur, dan bunyinya dan seterusnya menambahkan pengetahuan tentang rupa, bunyi, dan ciri-ciri lain objek tersebut.
Perkembangan motor yang baik bukan sahaja penting bagi kanak-kanak membuat gerakan. Perkembangan motor juga merupakan keperluan asas bagi pembelajaran seorang kanak-kanak. Pembelajaran di sekolah misalnya, menyediakan pelbagai pengalaman bagi kanak- kanak mengembangkan kemahiran motor mereka. Contohnya, kanak- kanak yang baru memasuki alam persekolah di ‘Tadika’, akan diminta untuk mewarna, memegang berus lukisan ataupun diajar cara memegang buku yang betul.
Bukan itu sahaja, malahan sejak kanak-kanak lagi kita dapat lihat bagaimana seorang kanak-kanak kecil cuba mengambil mainan mereka. Mereka juga akan cuba memasukkan mainan tersebut ke dalam mulut mereka. Apabila mereka berjaya mereka akan tersenyum tetapi apabila kita menegahnya mereka akan menangis. Semua ini termasuk manipulasi mimik muka mereka melibatkan penggunaan motor halus.
Walaupun kanak-kanak dapat menggunakan jari tangan mereka, tetapi memakan masa yang lama supaya menjadi lebih mahir. Kemahiran menggunakan jari dipengaruhi oleh faktor biologi di mana kanak-kanak yang mengalami masalah otak sering kali tidak dapat menggunakan jari mereka. Kanak-kanak ini lebih cenderung menggunakan tangan.
Pusat Perkembangan Kurikulum (2003) telah menggariskan beberapa matlamat dan hasil pembelajaran motor halus bagi kanak-kanak dalam Kurikulum Kebangsaan Prasekolah. Matlamat umum perkembangan motor halus adalah kanak-kanak dapat menguasai kemahiran motor halus. Secara lebih khusus, matlamat penguasaan kemahiran motor halus ini adalah dapat menggunakan jari untuk melakukan beberapa aktiviti. Hasil pembelajaran ini memberikan fokus perkembangan penggunaan jari tangan kanak-kanak bagi membuat aktiviti motor halus.
Dalam meningkatkan kemahiran motor halus ini, kanak-kanak akan berkebolehan melakukan aktiviti harian mereka sendiri. Contohnya kanak-kanak yang berumur 3 tahun dapat menggunakan sudu dengan betul. Bagi kanak-kanak yang lebih besar seperti berumur 5 tahun, mereka mungkin telah dapat menggunakan gunting untuk memotong kertas dan membuat bentuk. Manakala kanak-kanak yang berumur 6 tahun mereka berkebolehan mengikat tali kasut mereka.
Kemahiran kanak-kanak menggunakan gerakan tangan dan jari untuk melakukan sesuatu aktiviti dinamakan ‘dexterity’. Kemahiran ini turut melibatkan kebolehan mengkoordinasi mata dengan otot kecil tangan. Kemahiran ini paling banyak digunakan dalam proses tumbesaran kanak-kanak. Semasa kecil kanak-kanak telah mula belajar untuk memegang sesuatu pada tapak tangan mereka. Perkembangan ini berterusan sehingga mereka dapat menulis, melukis atau melakukan tugasan seperti memasang butang baju atau mengikat tali kasut dengan baik.
Koordinasi visual-motor dilihat bagaimana tindakan kanak-kanak dalam mengkordinasi mata dan anggota badan. Contohnya kanak-kanak dapat membuat koordinasi yang tepat antara tangan dan mata atau kaki dan mata. Dalam permainan bola sepak, kanak-kanak yang menjadi penjaga gol perlu cekap dapat membuat koordinasi tangan dan kaki (contohnya dalam menangkap bola) atau kaki dan mata (contohnya dalam menendang bola).
Kemahiran menggunakan motor halus mengalami peningkatan selari dengan meningkatnya umur mereka:
·         2 tahun – Menyelak muka surat di buku dan membentuk menara daripada blok-blok mainan sehingga 8 blok.
·         3 tahun – Menggunakan sudu untuk makan, meniru bulatan.
·     4 tahun – Dapat memakai baju sendiri, melukis bentuk tangan manusia dan menggunakan gunting.
·         5 tahun – Membutangkan baju, membuka zip.
Ciri-ciri motor halus sangat penting untuk guru merangka strategi yang sesuai bagi membantu meningkatkan kemahiran kanak-kanak ini. Sebagai contoh, di sekolah guru membantu kanak-kanak yang baru mula menulis huruf dengan meminta mereka menulis huruf tersebut berulang kali sehingga mereka mahir dengan gerakan motor menulis huruf itu. Selepas itu, baru guru kembangkan kemahiran ini dengan meminta mereka menulis satu perkataan yang lengkap dengan menggabungkan huruf-huruf tersebut bermula dengan perkataan yang memerlukan tiga atau empat huruf sahaja.
Guru juga harus memahami perkembangan motor halus kanak-kanak. Hal ini kerana guru perlu tahu faktor-faktor yang harus dipertimbangkan dalam membuat perancangan pembelajaran kanak-kanak. Sebagai contoh pembelajaran kemahiran menulis, adalah penting kita memahami perkembangan motor halus dalam pengawalan pensel untuk kanak-kanak ini menulis. Guru harus tahu cara pengawalan genggaman jari tangan kanak-kanak. Sekiranya guru mengetahui bahawa kanak-kanak masih di peringkat mengembangkan kemahiran mereka, guru ini akan mempertimbangkan beberapa penyelarasan dan penyesuaian bagi membantu kanak-kanak ini menulis dengan baik. Contohnya guru harus mempertimbangkan saiz, bentuk dan panjang pensel yang sesuai untuk kanak-kanak ini mula menulis. Oleh itu, kanak-kanak memerlukan bantuan guru bagi memperkembangkan kemahiran menulis dan melukis mereka.
Satu lagi cara untuk membantu kanak-kanak mengembangkan motor halus mereka adalah dengan menggunakan bahan bantu mengajar yang bersesuaian. Sebagai contoh, kanak-kanak yang baru hendak melukis menggunakan pensel krayon mungkin kurang sesuai memandangkan saiz pensel krayon yang agak kecil. Oleh itu, guru seharusnya memberikan kanak-kanak saiz pensel warna yang agak besar bagi memudahkan mereka memegang pensel tersebut. Pensel yang berbentuk tiga segi juga dapat membantu kanak-kanak memegang pensel dengan kemas. Kemahiran genggaman seperti ini secara tidak langsung dapat meningkatkan keyakinan diri kanak-kanak dalam pengawalan motor halus mereka.
Selain itu, cara postur kedudukan tangan dan badan yang betul juga dapat meningkatkan kemahiran motor halus. Kedudukan tangan, kaki dan badan ini sangat penting dalam melaksana tugas yang memerlukan kemahiran motor halus. Craig dan Digdon (2001), menyatakan .kanak-kanak seharusnya dididik cara duduk yang betul dengan punggung, lutut dan kaki berada dalam kedudukan 90˚ dengan kedudukan badan mereka agak ke depan sedikit. Kedudukan meja pula seharusnya 2 inci dari siku ketika tangan mereka dalam kedudukan rehat. Sekiranya kerusi mereka terlalu tinggi dan kaki mereka tergantung, letakkan alas kaki agar mereka selesa. Apabila keadaan selesa kanak-kanak dapat mengerakkan tangan, lengan, dan jari dengan stabil. 
Galakkan kanak-kanak ini membina blok secara memanjang. Mereka boleh merasa bentuknya dan menyusunnya dari satu hujung ke hujung yang lain dalam bentuk yang berlainan tanpa perlu risau blok itu akan terjatuh. Selain daripada itu strategi yang boleh digunakan oleh guru dalam konsep alam belajar menurut trostle & yawkey, 1981 ialah pertama, Fizikal : Guru memberi izin kepada murid-murid untuk menggunakan objek yang mereka hendak. Guru membantu murid untuk mencari objek yang menarik, berguna dan selamat. Kedua, Keseronokan (bermain). Guru juga boleh turut serta bersama murid semasa bermain.
Kemahiran motor halus juga melibatkan pergerakan manipulatif. Pergerakan ini memerlukan kanak-kanak mengawal penggunaan anggota badan mereka seperti tangan dan kaki. Misalnya kebolehan kanak-kanak untuk memegang, membuka dan melepaskan gengaman. Malahan aktiviti seperti melambaikan tangan atau membaling objek juga dapat mengembangkan motor halus kanak-kanak tersebut.
Perkembangan ini berterusan semasa kanak-kanak mula untuk belajar. Kanak-kanak akan belajar memegang pensil, melukis dan menconteng menggunakan krayon akan mengembangkan motor halus mereka. Tansley (1967) menyatakan pemahaman kendiri kanak-kanak tentang anggota badan dan kebolehan gerakan badan mereka berkait rapat dengan apa yang mereka rasa selesa dengan diri mereka. Kekurangan yang mereka rasai akan mempengaruhi cara kanak-kanak ini bergaul dengan rakan sebaya.
2.3       Pengajaran dan pembelajaran yang boleh dijalankan untuk meningkatkan perkembangan motor halus kanak-kanak
Gaya dan kaedah pengajaran di dalam kelas amat penting dalam memastikan perancangan program yang lebih berkesan untuk perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh. Selain itu juga, gaya dan kaedah pengajaran seseorang guru yang sesuai dan betul akan dapat memastikan setiap pelajar-pelajar mencapai objektif yang telah ditetapkan. Bagaimanapun apa jua perancangan yang dibuat, aktiviti itu haruslah selaras dengan falsafah, matlamat dan objektif pengalaman yang sesuai (Rohaty, 2003).
Selain itu juga, kaedah pembelajaran ialah meliputi aktiviti kelas, aktiviti kumpulan dan aktiviti individu yang akan dapat memperkembangkan minda kanak-kanak dalam semua aspek pembelajaran. Hal ini kerana, pendidikan prasekolah bertujuan untuk menyuburkan potensi kanak-kanak dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan untuk masuk ke sekolah rendah.
Pelbagai gaya dan kaedah pengajaran dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) sains awal di peringkat prasekolah yang memerlukan guru berperanan dalam merangsang pemikiran aktif dan kreatif kanak-kanak. Menurut Kamarudin & Siti Hajar (2004), seseorang guru seharusnya dapat menentukan jenis dan bentuk bahan atau media yang akan digunakan. Ia juga harus menentukan bahan-bahan itu sesuai dengan minat, pengetahuan dan keupayaan murid. Oleh itu, untuk merangsang pemikiran sedemikian, guru-guru perlulah merangka persekitaran pembelajaran dan memahami tahap kebolehan kanak-kanak supaya ia bersesuaian dengan topik dan aktiviti sains yang akan diperkenalkan kepada mereka.
Selain itu, kaedah pengajaran dan pembelajaran yang paling berkesan bagi pendidikan prasekolah adalah melalui teknik belajar sambil bermain. Main atau bermain secara amnya boleh di definisikan sebagai satu aktiviti yang memberikan kegembiraan atau kepuasan kepada kanak-kanak tanpa menimbangkan hasil daripada aktiviti itu. Dengan kata lain, kanak-kanak bermain bukan kerana ingin akan sesuatu atau ingin mencapai tujuan tetentu.
Memerhati kanak-kanak bermain adalah cara menilai perkembangan dan kemahiran intelektual, sosial, emosional dan fizikal mereka. Aktiviti pembelajaran dan bahan yang digunakan dalam pembelajaran perlu terdiri daripada bahan konkrit, bahan sebenar dan relevan kepada kehidupan kanak-kanak. Kanak-kanak perlu bermain dengan bahan sebenar dan mengalami peristiwa sebenar sebelum mereka boleh memahami makna simbol sebenar seperti abjad dan nombor. Oleh itu penggunaan buku kerja, buku warna dan model yang dibina oleh orang dewasa untuk disalin oleh kanak-kanak adalah tidak sesuai untuk kanak-kanak berumur antaraempat hingga enam tahun.
Bermain juga di anggap satu pekerjaan bagi kanak-kanak, tetapi bukanlah pekerjaan yang memerlukan hasil akhirnya atau tujuan tertentu. Bermain juga bukanlah aktiviti yang dipaksa, malah ia merupakan keinginan semulajadi kanak-kanak (Kraus, 1990). Pendekatan belajar sambil bermain ini memerlukan satu pendekatan yang terancang dan berstruktur bagi memberi peluang kepada murid untuk belajar dalam suasana yang mengembirakan dan dapat merangsang pemikiran kanak-kanak.
Guru perlu menitikberatkan soal keselamatan kanak-kanak yang menggunakan kemudahan dan peralatan bermain. Pembahagian ruang mestilah seimbang dengan penyusunan permainan memudahkan pergerakan murid supaya tidak berlanggar di antara satu dengan yang lain dan boleh mendatangkan kecederaan. Penyusunan permainan tidak melindungi pandangan guru untuk memerhati pergerakan murid.
Di samping itu juga setiap prasekolah perlu menyediakan peti pertolongan cemas yang lengkap dan berada di tempat yang selamat serta boleh dicapai. Guru harus bijak menjana kreativiti untuk mewujudkan ruang bermain sebagai pusat pembelajaran tidak formal dengan mengambil kira aspek keselesaan, keselamatan yang memberikan manafaat untuk kanak-kanak. Selain itu, ianya juga seharusnya dapat membantu kanak-kanak dalam pembentukan dan penyuburan dirinya secara menyeluruh dan seimbang.
Guru perlu memahami keperluan bermain untuk kanak-kanak dan seterusnya mewujudkan ruang bermain ini secara bijaksana dan mengunakannya dengan sepenuhnya. Semasa kanak-kanak bermain guru haruslah menjalankan peranannya sebagai pemerhati, perancang, penyelia dan penilai. Ini bertujuan agar guru dapat menentukan sama ada kanak-kanak menghadapi masalah ataupun memerlukan bantuan. Guru juga dapat mengenal pasti tahap pemikiran, kebolehan, interaksi dan kemahiran motor kanak-kanak.
Di samping itu, guru berupaya mengenal kanak-kanak, memberi maklum balas ataupun memberi sokongan kepada kanak-kanak walaupun hanya mengangguk kepala ataupun memberi senyuman. Guru yang memerhati dan menyelia kanak-kanak bermain, berupaya menilai kanak-kanak secara berterusan kerana bermain adalah cara belajar yang asas.
Pada peringkat umur ini, kanak-kanak menunjukkan kebolehan dan keinginan belajar melalui latihan lisan, lukisan dan membuat persembahan lain-lain aktiviti seperti diarahkan oleh orang dewasa. Pada peringkat umur 5-6 tahun, kanak-kanak mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi tentang perkara di sekeliling mereka. Sifat ingin tahu ini membuatkan kanak-kanak pada peringkat umur ini amat berminat untuk meneroka melalui aktiviti bermain mereka.
Melalui aktiviti bermain, kanak-kanak mampu meningkatkan pelbagai sudut perkembangan diri selain dapat mengembirakan mereka. Melalui aktiviti bermain, kanak-kanak terdedah dengan alatan permainan yang pelbagai bentuk, permukaan, warna dan sebagainya. Penggunaan permainan tersebut dapat merangsang penggunaan deria mereka selain dapat menarik minat belajar mereka.
Melalui bermain, kanak-kanak didedahkan dengan satu pembelajaran dan penemuan baru apabila mereka belajar mengenai warna, perbezaan bentuk, permukaan dan sebagainya. Ini menggalakkan mereka perkembangkan kemahiran motor kasar dan halus mereka.
Selain daripada itu, guru juga boleh menarik perhatian kanak-kanak dengan meletakkan objek yang berbunyi seperti jam, loceng angin, radio dan sebagainya untuk membantu kanak-kanak mengenalpasti susunan rumah. Guru perlu menggalakkan kanak-kanak ini mencari dan merasa tekstur yang berlainan di sekeliling rumah seperti lantai, karpet, kayu, tingkap kaca, dinding berplaster, meja marmar dan sebagainya. Carilah mainan dan buku yang mempunyai nombor, huruf atau rekaan yang timbul yang boleh disentuh dan diterokai oleh kanak-kanak ini. guru juga boleh memilih cerita yang mempunyai penerangan yang menarik mengenai sesuatu aksi atau objek. Beri penerangan, dan biarkan mereka mengalami situasi itu.
Sediakan kawasan yang khas bagi aktiviti bermain. Bantu kanak-kanak ini menyesuaikan diri dengan susunan bilik itu. Jika guru bercadang untuk mengubah sesuatu susunan, guru hendaklah membantu kanak-kanak ini mengenalpasti semula susunan bilik itu.
Guru boleh melakukan aktiviti seperti guntingkan simbol, bentuk, huruf dan nombor daripada kertas pasir atau kadbod. Pandu tangan kanak-kanak mengikut bentuk tersebut dan pada masa yang sama terangkan mengenai bentuk itu. Tunjukkan kanak-kanak ini bagaimana membuat gosokan dengan mewarna di atas sesuatu tekstur yang menarik. Pastikan bahawa kawasan bermain mempunyai cukup cahaya supaya kanak-kanak yang mempunyai deria lihat yang terhad dapat melihat dengan lebih baik.
Belajar melalui bermain adalah satu teknik pengajaran dan pembelajaran yang berkesan kepada kanak-kanak. Melalui teknik ini juga akan mendatangkan keseronokkan dan kepuasan kepada mereka dalam sesuatu pengajaran yang hendak disampaikan. Dengan bermain juga kanak-kanak akan dapat menguasai perkembangan dan kemahiran fizikal dan penguasaan bahasa dari segi perbendaharaan dan peraturan tatabahasa. Penggunaan teknologi multimedia dapat meningkatkan mutu pengajaran dan seterusnya membina pembelajaran yang menyeronokkan seperti yang telah dibincangkan sebelum ini.
Kesimpulannya, menurut Jean Piaget, beliau menyarankan bahawa pembelajaran bahawa memerlukan masa “untuk memainkannya” dengan membuat sesuatu menerusi berbagai alternatif. Oleh itu kanak-kanak memerlukan masa yang fleksibel dalam aktiviti main untuk mencapai matlamatnya. Oleh itu, bukan belajar sahaja dapat mendidik kanak-kanak, tetapi bermain juga dapat mengasuh mereka untuk memperolehi ilmu.
2.4       Tokoh-tokoh kajian-kajian dalam dan luar negara
2.4.1    Kajian-kajian luar negara
Cara memegang alat tulis akan mempengaruhi bentuk tulisan yang dihasilkan (Levine, 1987). Tulisan yang cantik dan mudah dibaca adalah aset yang sangat berharga dalam kehidupan seseorang. Kanak-kanak seperti ini didapati boleh menulis tetapi tidak menulis dengan cara yang betul.
Sassoon (1993) mendapati guru kurang memberi penekanan kepada
pengajaran menulis di kelas khususnya cara memegang alat tulis dengan betul,
menulis huruf mengikut pergerakan yang betul, menentukan saiz huruf dan
menentukan ruang antara huruf dan perkataan.
Craig dan Digdon (2001), menyatakan .kanak-kanak seharusnya dididik cara duduk yang betul dengan punggung, lutut dan kaki berada dalam kedudukan 90˚ dengan kedudukan badan mereka agak ke depan sedikit.
Menurut Karl Garrison dalam Murugiah, pertumbuhan merupakan perkembangan seseorang individu dalam bentuk saiz badan iaitu perubahan-perubahan otot, tulang, kulit, rambut dan kelenjar. Menurut Karl E. Garrison, perkembangan adalah dihasilkan daripada tindakan yang saling berkaitan di antara perkembangan jasmani dan pembelajaran.
Menurut Atan Long pula pertumbuhan adalah perubahan yang dapat diukur dari satu peringkat ke satu peringkat yang lain. Kuantiti pertumbuhan tersebut dapat dilihat dengan jelas daripada pengukuran yang dibuat dari masa ke semasa. Menurut Atan Long (1980), perkembangan ialah perubahan kualitatif. Ia tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi jelas dilihat perubahan telah berlaku kerana sifat baru berlainan daripada peringkat yang lebih awal. Menurut Atan Long (1980), perkembangan ialah perubahan kualitatif. Ia tidak dapat diukur secara kuantitatif tetapi jelas dilihat perubahan telah berlaku kerana sifat baru berlainan daripada peringkat yang lebih awal.
Arnold Gesell dalam Kamaruddin Husin, mengatakan bahawa pertumbuhan manusia adalah mengikut corak yang dapat ditelaah. Beliau berpendapat walaupun tidak terdapat dua individu yang benar-benar serupa tetapi semua kanak-kanak yang normal cenderung untuk mengikuti susunan pertumbuhan secara umum yang terjadi pada manusia.
Menurut Crow dan Crow, perkembangan merupakan perubahan secara kualitatif serta cenderung ke arah lebih baik dari segi pemikiran, rohani, moral dan sosial.
Sementara D.S Wright dan Ann Taylor mentakrifkan perkembangan sebagai perubahan yang berlaku dalam warisan hayat (baka) dan organisasi kepada struktur organisma dalam keadaan saling berkait serta berhubung dengan pertambahan umur.
Menurut Mok Soon Sang (2008), perkembangan merupakan satu proses yang berterusan dari peringkat lahir hingga peringkat kematangan. Mengikut ahli psikologi perkembangan manusia dari aspek perubahan jasmani, kognitif, emosi, sosial dan rohani adalah dipengaruhi oleh dua faktor yang utama iaitu faktor baka dan faktor persekitaran. Perkembangan juga boleh disifatkan sebagai pengaliran yang saling berkait antara perubahan kuantitatif dan perubahan kualitatif yang menuju ke arah tertentu.
Gesell (1949) menyatakan, walaupun tidak ada dua individu yang benar-benar serupa, secara global semua kanak-kanak yang normal cenderung mengikut susunan pertumbuhan yang biasa dilalui oleh kanak-kanak.
Pengaruh genetik atau baka ke atas pertumbuhan dan perkembangan manusia ini sebenarnya dipelopori oleh Johann Gregor Mendel(1822-1889) di Austri. Menurut Norman L. Munn, dan Ee Ah Meng (1996) baka merupakan ciri-ciri yang diturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya melalui gen.
R. Hilgard pula menyatakan bahawa baka ialah ciri-ciri biologi yang diturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya melalui gen.
Amran Schienfed mengatakan bahawa baka menentukan persamaan antara ibu bapa dengan anak-anaknya, di kalangan ahli dalam satu kumpulan keluarga dari segi sifat-sifat seperti kebolehan , minat dan kawalan emosi.
Kajian ahli-ahli psikologi Galton(1865), Goddard(1890), Newman(1937) dab Sheldon(1962) telah membuktikan bahawa setiap individu mempunyai kecerdasan dan intelek yang berbeza. Perbezaan kecerdasan di antara individu boleh diperhatikan daripada prestasi pelajar dalam sesuatu kelas.
Mengikut teori Ekologi Bronfenbrenner (1979,1989), menjelaskan bahawa perkembangan kanak-kanak merangkumi lima jenis sistem ekologi iaitu mikrosistem, mesosistem, ekosistem, makrosistem, dan kronosistem. Menurut Bronfenbrenner, kelima-lima sistem ekologi ini adalah mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.
Makrosistem pula adalah perkembangan individu yang melibatkan norma-norma, nilai dan amalan masyarakat itu sendiri. Misalnya dalam sesetengah masyarakat, peranan jantina dititikberatkan (Santrock,2008). Di sesetengah negara, kaum lelaki diberi peranan yang lebih dominan di mana mereka diberi peluang pelajaran dan pekerjaan-pekerjaan yang penting.
Menurut Down Byrne (1979), menyatakan bahawa kita menggunakan simbol-simbol grafik semasa menulis, iaitu penggunaan huruf-huruf atau yang berkaitan dengan lambang-lambang bunyi yang kita buat semasa bercakap.
Schmidt dan Wrisberg (2000) menjelaskan bahawa kemahiran fizikal kanak-kanak perlu dilihat dalam dua kategori iaitu sebagai tertutup atau terbuka. Bagi aspek kemahiran fizikal tertutup bermakna kanak-kanak menjalankan aktiviti dalam persekitaran yang terkawal dan tidak berubah. Aspek terbuka dalam kemahiran terbuka pula bermaksud persekitaran dan situasi bagi kanak-kanak menjalankan aktiviti fizikal sentiasa berubah. Kedua-dua kategori ini perlu dalam memperkembangkan kemahiran kanak-kanak. Contohnya untuk melatih sesuatu pergerakan kanak-kanak memerlukan persekitaran yang tertutup. Manakala dalam sesuatu permainan kanak-kanak akan melalui persekitaran yang terbuka.
Kemahiran motor dibahagikan kepada dua bahagian iaitu motor kasar dan motor halus (Magill, 2001). Kemahiran motor kasar merupakan kemahiran yang melibatkan kumpulan otot-otot kasar atau besar yang melibatkan banyak anggota. Kemahiran motor halus merupakan kemahiran yang melibatkan kumpulan otot-otot kecil atau halus dan sukar dilihat.
 
2.4.2    Kajian-kajian dalam negara
Menurut Juriah Long dan rakan-rakan (1900), menulis adalah satu proses untuk menyampaikan buah fikiran, idea atau pendapat dengan tepat dan berkesan kepada khalayak atau pembaca dengan menggunakan bentuk grafik.
 
(Kajian yang lain tidak dinyatakan)
 
3.5       Kajian-kajian lepas
3.5.1    Kajian luar Negara :
3.5.2    Kajian dalam Negara :
Kajian mengenai masalah cara pegang pensel dengan betul setakat ini belum begitu meluas. Namun tinjauan pengkaji mendapati ada beberapa penyelidik yang membuat kajian mengenai masalah ini. Antaranya ialah Noraini Binti Ombi yang membuat kajian mengenai kajian kes ke atas kekemasan tulisan murid tahun 2 dalam kelas pemulihan khas bahasa melayu. Beliau mengkaji punca masalah tulisan tidak kemas seorang murid pemulihan yang bernama Nur. Sampel beliau merupakan seorang murid yang dimasukkan ke kelas Pemulihan Khas disebabkan tulisan yang tidak kemas. Kajian beliau dijalankan berdasarkan kajian terdahulu yang dilaksanakan oleh Levine (1987) serta Pressey dan Pressey (1926).
 
(Kajian yang lain tidak dinyatakan)
2.5       Kesimpulan :
Bab ini menghuraikan berkenaan dengan perkembangan fizikal dan motor halus yang mempunyai kaitan dalam cara memegang pensel dengan betul. Akhir sekali bab ini telah menghuraikan mengenai teori-teori dan kajian-kajian lepas serta luar Negara berhubung dengan masalah cara memegang pensel dengan betul.
BAB III
METADOLOGI KAJIAN
3.0       Pendahuluan
Dalam bab ini, pengkaji akan membincangkan tentang prosedur dan proses kajian berkaitan metodologi kajian yang dijalankan dan ia merupakan satu perkara asas yang sangat penting dalam setiap kajian bagi memastikan matlamat dan objektif tercapai.
Prosedur dan proses kajian yang dipilih untuk dilaksanakan bagi mendapatkan maklumat dan data mengenai masalah cara memegang pensel warna dengan betul. Bagi kajian ini, pengkaji telah memilih untuk menjalankan kajian secara kaedah kualitatif . Ianya memberikan tumpuan kepada kaedah kajian, sampel kajian, instrumen kajian, dan analisis data.
3.1       Reka bentuk kajian
Fokus penyelidikan ini adalah untuk mengenal pasti masalah cara memegang pensel dan memperbaiki cara memegang pensel dengan betul, kaedah yang pengkaji gunakan terdiri daripada melakukan penyelidikan secara kualitatif. Oleh kerana kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui kaedah tinjauan, maka beberapa langkah penting telah dilakukan.
Pendekatan kualitatif berasaskan kualiti. Ia bersifat deskriptif, kurang berstruktur dan lebih kepada penghuraian ‘makna’ terhadap perkara yang dikaji. Ia tidak mengutamakan data-data berbentuk numerikal dan lebih menumpukan kepadaproses kajian. Skop kajiannya pula melibatkan bilangan peserta kajian yang kecil danpenghuraian data bersifat deskriptif.
Pendekatan kualitatif menekankan sumbangan yang banyak dalam bidang penyelidikan. Pendekatan ini juga memberikan keyakinan yang jelas terhadap kesahan, keputusan dan fakta. Tugas penyelidik kualitatif adalah membuktikan percakapan dan perbuatan manusia hasil daripada cara menginterprestasikan kerumitan dunia mereka.
Penyelidik kualitatif juga perlu memahami peristiwa kejadian dan perspektif responden. Dunia kehidupan respondenlah yang merangkumi bidang penyelidikan dan penyiasatan. Kebenaran dalam konteks ini tertakluk pada kecenderungan tidak menentu yang humanistik. Eisher (1979) menjelaskan, kaedah kualitatif menitikberatkan proses akibatdan keseluruhan yang tersusun bukannya pembolehubah bebas yang mementingkan maksud bukannya statistik berkaitan tingkah laku.
Kaedah kualitatif lebih berminat pada kesimpulan yang berdasarkan konteks yang berpotensi mewujudkan polisi baru dan keputusan yang berbentuk kependidikan. Borton dan Lazarsfeld (1969) merumuskan kelebihan pendekatan kualitatif adalah seperti jaringan yang dibentangkan ke laut oleh nelayan laut dalam.
Oleh kerana laporan kualitatif tidak dibentangkan sebagai penjumlahan statistik tetapi lebih kepada penerangan penyelidikan, ini mungkin memberikan faedah kepada pelatih.
Terdapat lima ciri penting dalam penyelidikan kualitatif seperti berikut:
1.         Keaslian (Naturalistik)
Penyelidikan kualitatif mempunyai kawasan yang berkaitan terus dengan data dan penyelidikan mempunyai kaitan terus dengan mengalami sendiri sejumlah masa di sekolah, keluarga, dan jiran dengan membuat beberapa tindakan seperti penggambaran, penyuntingan, temubual, lakonan, penceritaan dan lain-lain.
2.         Penerangan Ringkasan Data (Description Data)
Pengumpulan maklumat dalam bentuk perkataan atau gambar dan tidak dalam bentuk angka. Data yang didapati adalah dalam bentuk temubual, notakerja, gambar, rakaman video, dokumen dan rekod rasmi.
3.         Induktif
Penyelidikan kualitatif menganalisa data secara induktif bermaksud mendapatkan lebih banyak maklumat dalam tempoh masa yang panjang dan membuat beberapa andaian sehingga berjaya membuat keputusan muktamad.
4.         Mengutamakan Kaedah Proses
Penyelidik kualitatif mengutamakan kaedah atau proses daripada mendapatkan keputusan atau hasil dan sangat berusaha dalam penyelidikan berkaitan pendidikan yang melibatkan guru dan pelajar dengan keberkesanan kaedah pengajaran dan pembelajaran, strategi-strategi kualitatif boleh diterjemahkan dalam kegiatan, peraturan dan perhubungan harian.
5.         Bermakna (Meaning)
Penyelidik menggunakan pendekatan bagaimana orang-orang menyarankan kehidupan harian mereka seperti pendidikan anak-anak mereka.
3.3       Sampel kajian
Persampelan merupakan strategi kajian bila mana pengkaji boleh mendapatkan maklumat mengenai sesuatu populasi daripada sebahagian individu yang menganggotai populasi tersebut (cohen et al., 2007).
       Dari sudut pemilihan sampel, pengkaji merasakan lebih sesuai menggunakan kaedah persampelan bertujuan (purposive sampling), iaitu kelompok responden yang mewakili populasi yang hendak dikaji, dikenal pasti dan semua individu dalam kelompok tersebut di ambil kira sebagai sampel.
Sasaran sampel kajian ini ialah seorang kanak-kanak di Taska Permata Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu. Sampel bernama Kamilia Syahira binti Mohd Kamal tinggal di alamat Kampung Bukit Depu, 21100 Kuala Terengganu, Terengganu.
3.4       Lokasi kajian
Pengkaji telah mengenal pasti tempat kajian. Kajian dijalankan ke atas seorang kanak-kanak di Taska Permata Keluarga, Kuala Terengganu. Pemilihan lokasi kajian dibuat adalah berdasarkan kepada tiga factor utama iaitu :
a)      Taska telah dilengkapi dengan beberapa kemudahan untuk pengkaji melakukan aktiviti yang dapat meningkatkan kemahiran motor halus sampel.
b)      Pengkaji menjalankan latihan mengajar selama 3 bulan bermula 19/11/2012 sehingga 8/3/2013. Pengkaji senang untuk menjalankan kajian jika lokasi kajian dekat dengan pengkaji.
c)      Guru-guru dan ketua taska sangat mesra dan memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada pengkaji sepanjang kajian dibuat.
3.4       Instrumen kajian
Maklumat berkaitan instrumen kajian merupakan satu komponen yang amat penting dalam merancang kaedah kajian. Ini bertujuan memastikan data yang dikumpul sah digunakan. Selain itu, kebenaran telah diperoleh daripada Penyelia Dan Pengurus taska tersebut. Hubungan yang baik antara pihak taska dengan pengkaji terutama guru dan kanak-kanak supaya mereka selesa dengan kehadiran pengkaji.
Semasa penyelidikan dilakukan, pengkaji menggunakan beberapa instrumen antaranya seperti berikut:
a)         Pemerhatian.
Pengumpulan data adalah tidak lengkap tanpa pemerhatian. Data yang dikumpulkan daripada pemerhatian dapat membekalkan maklumat yang boleh menambah kebolehpercayaan kepada penyelidikan yang dijalankan (Suseela 2001).
Dengan menggunakan kaedah pemerhatian, pengkaji dapat merekodkan cara sampel memegang pensel warna dengan tepat. Data di rekod berdasarkan rakaman video dan gambar. Rakaman video bertindak sebagai satu cara untuk mengesahkan dan menyokong data yang didapati daripada pemerhatian dan catatan kajian (Marohaini 2001).
Rakaman video dalam kajian ini bukan sahaja membantu memperlengkapkan pemerhatian tetapi juga memberi idea dan pemahaman yang lebih mendalam untuk pengkaji bertindak apabila membuat pemerhatian yang seterusnya.
Pemerhatian dilakukan semasa sampel melakukan aktiviti di dalam kelas yang melibatkan proses mewarna. Pemerhatian dalam konteks kajian ini membolehkan pengkaji mengenal pasti masalah kemahiran motor halus dan cara pegangan pensel warna sampel berdasarkan definisi Operasi bagi Postur Genggaman dalam Urutan Pembangunan Schneck dan Henderson (1990).
Gambar cara pegangan pensel sampel semasa menulis mahupun mewarna dalam kelas pengajaran dan pembelajaran diambil dengan menggunakan kamera digital. Gambar tersebut dianalisis dan dikategorikan mengikut jenis-jenis genggaman pensel warna berdasarkan definisi Operasi bagi Postur Genggaman dalam Urutan Pembangunan Schneck dan Henderson (1990).
Schneck dan Henderson (1990) telah mencipta skala perkembangan yang menerangkan genggaman pensel warna tipikal yang dapat dimanfaatkan oleh kanak-kanak tipikal. Berdasarkan Rajah 1, perkembangan jenis-jenis genggaman yang tidak matang ialah dari (a) hingga (h) dan jenis-jenis genggaman yang matang ialah (i) dan (j).

Rajah 1: Ilustrasi Definisi Operasi bagi Postur Genggaman dalam Urutan Pembangunan (Sumber: Schneck & Henderson 1990) 
Penerangan jenis-jenis genggaman seperti rajah di atas adalah (a) genggaman jejari silang tapak tangan; (b) genggaman supinate tapak tangan; (c) genggaman pronate digital, hanya jari dilanjutkan; (d) genggaman berus; (e) genggaman dengan lanjutan jari; (f) genggaman ibu jari silang; (g) genggaman tripod statik; (h) genggaman empat jari; (i) genggaman tripod lateral; (j) genggaman tripod dinamik. 
b)         Bukti dokumen 
     Bagi bukti dokumen pula, semua dokumen yang dikutip seperti lembaran kerja sampel sepanjang pengajaran dan pembelajaran sampel di taska dibuat salinan, dan dianalisiskan. 
     Penggunaan bukti dokumen juga merupakan salah satu lagi cara pengumpulan data dalam pendekatan kualitatif. Merriam (1998) membahagikan dokumen kepada tiga jenis iaitu dokumen atau rekod awam, dokumen peribadi dan bahan-bahan berbentuk fizikal (artifak). Dokumen atau rekod awam bertulis seperti dokumen rasmi sekolah, minit mesyuarat panitia, majalah sekolah, buku rekod mengajar dan bahan            bantuan mengajar seperti cara dan pengurusan grafik. 
     Penganalisisan dokumen rasmi seperti buku rekod mengajar membolehkan pengkaji menyemak sendiri apa yang ditulis oleh peserta kajian berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan. Begitu juga dengan penganalisisan minit mesyuarat dapat memberi input mengenai apakah rancangan pengajaran yang telah dirangka ataudilaksanakan oleh peserta kajian. 
      Dokumen peribadi pula adalah dokumen yang dihasilkan oleh seseorang (Bogdan &Biklen 1988). Contoh dokumen peribadi ialah bahan bantuan yang disediakan oleh peserta kajian, buku rujukan, buku catatan, buku latihan pelajar dan buku teks. Penganalisisan rekod peribadi membolehkan pengkaji membuat perbandingan dan pengesahan apa yang dilakukan dan diperkatakan oleh peserta kajian dalam pengajaran di bilik darjah. 
     Setiap dokumen yang digunakan boleh direkodkan dengancara menamakan terlebih dahulu dokumen itu, konteks dokumen dan perkaitannya dengan dokumen lain, kepentingan dokumen dan rumusan kandungan dokumen (Miles & Huberman 1994). 
     Dokumen berbentuk artifak pula merupakan bahan maujud yang boleh menjadi bukti dalam sesuatu kajian. Ia mempunyai maklumat mengenai sesuatu persitiwa danbudaya serta sesuai dijadikan bahan kajian. Ahli sejarah telah menggunakan bahan ini untuk membantu manusia memahami pelbagai perubahan dan pembentukan peradaban melalui penelitian terhadap artifak purba seperti bangunan. 
     Pelbagai bahan artifak yang ditemui pengkaji telah dapat menjawab persoalan kajian yangditentukan. Begitu juga pada masa yang sama terdapat artifak yang dapat memberi pengetahuan baru atau persoalan baru yang selama ini tidak difikirkan oleh pengkaji.Di sekolah tedapat bahan artifak seperti bangunan bengkel, perpustakaan, brosur sekolah, perancangan lima tahun sekolah, senikata lagu, visi dan misi sekolah. 
3.4       Analisis maklumat
Dapatan-dapatan kajian dipersembahkan secara kualitatif. Data dan maklumat yang diperoleh dianalisis semula menggunakan hasil kerja kanak-kanak yang telah dikumpul dan melalui senarai semak. Selain itu, pengkaji menggunakan hasil gambar yang diambil semasa kanak-kanak menjalankan aktiviti semasa proses pengajaran dijalankan seperti biasa. Data yang diperoleh akan dianalisis berdasarkan faktor-faktor :
a)      Apakah alat yang boleh digunakan untuk membantu kanak-kanak menulis dengan betul?
b)      Adakah aktiviti yang sesuai untuk kanak-kanak yang mempunyai masalah cara memegang pensel dengan betul?
3.6       Kesimpulan : 
     Diharapkan kajian ini dapat meninjau tahap kemahiran motor halus kanak-kanak seterusnya membantu mengatasi masalah cara pegang pensel sampel dengan betul. Kajian ini juga diharapkan dapat mengesan cara paling sesuai bagi memperbetulkan cara genggaman pensel dan dapat menjelaskan apa aktiviti-aktiviti yang sesuai bagi meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak.
     Pengkaji juga berharap kajian ini dapat membantu pihak taska bagi mengatasi kanak-kanak yang mempunyai masalah cara pegang pensel dengan betul dan mampu mencadangkan beberapa saranan kepada Taska Permata Keluarga, Kuala Terengganu untuk pengkaji sama-sama membantu mengatasi masalah cara memegang pensel dengan betul.
 

Ini merupakan sebahagian daripada tesis pemilik blog. Hasil tesis ini, saya telah mendapat A. Alhamdulillah.. Kajian ini merupakan hasil penat lelah saya. Anda inginkan tesis ini sebagai rujukan ? Oleh itu, saya berhasrat untuk memberikan “full tesis” (kecuali gambar sampel akan dibuang dari tesis yang akan diberikan atas tujuan keselamatan) kepada anda sebagai rujukan dengan berbayarSaya tidak pertontonkan bab 4 dan 5 . Bab 1, 2 dan 3 ini juga bukan untuk dijual, hanya untuk tontonan. Jika hendak bab 1,2 dan 3, harganya RM30 (beserta kajian dalam dan luar negara yang saya tidak nyatakan di sini). Full tesis pula hanya berharga rm60. Bab 4 dan 5 (hasil kajian) akan diberikan termasuk lampiran.. Sekian terima kasih. Sila contact saya di facebook (rujuk sebelah kanan)

10 Comments

  1. leenasays: Reply

    Slm Cik Amal. Saya berminat untuk membeli full tesis ini sebagai rujukan dan panduan saya.

  2. HANISAH BINTI ABDUL HAMID .says: Reply

    saya berminat dgn kajian ini… cmne nk add d facebook, apa namanya?

  3. siti khalijahsays: Reply

    saya berminat dengan kajian kes cik Amal..saya ingin jadikan rujukan. bagaiman ya?

  4. ann maznunsays: Reply

    sya berminat untuk membeli tesis ini sebagai rujukan.. dan izinkan saya juga tesis ini sebagai rujukan tesis saya

  5. Nor Aida Zawaudi Muhammadsays: Reply

    tolong hubungi saya blh x 0177980949….saya sangat berminat dengan tesis ni

  6. elyanizasays: Reply

    assalam…cik amal..sy berminat utk membeli full thesis sebagai rujukan tesis saya mengenai kemahiran menulis…sy dh add cik amal di fb dan inbox di fb…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge

TrackBack URL

http://cikamal.com/kajiankeskeatasmasalahcaramemegangpenseldalamkalangankanak-kanak4tahun.html/trackback

PAGE TOP